Jun 18, 2011

Tip Dan Cara mengatasi anak enggan ke sekolah

(Kes 1)
“Abang fikir kenapa agaknya anak kita Salman liat benar hendak ke sekolah dua tiga hari ini? Banyak betul alasan yang diberi, sakit perutlah, peninglah,” adu Sarimah kepada suaminya, Zainal.

“Tak mengapa. Seminggu dua nanti okeylah tu. Tak usahlah kita paksa-paksa dia,’’ balas Zainal.



(Kes 2)
“Kalau kamu tidak mahu lagi ke sekolah nanti mama kurung dalam bilik. Mama tak akan beri kamu main di luar.”

Merujuk kepada dua kes di atas jelas sekali tidak ramai ibu bapa yang benar-benar memahami apa yang dimaksudkan dengan masalah school refusal atau keengganan ke sekolah di kalangan kanak-kanak.

Kaunselor di Unit Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Ek Zakuan Kalil, tidak menafikan sikap anak yang menunjukkan keengganan ke sekolah kerap membuat ibu bapa menjadi panik.

Bagi mengatasi sikap tersebut, sesetengah ibu bapa berusaha memujuk dengan mengumpan anak-anak dengan perkara yang mereka suka seperti duit atau permainan. Tidak kurang juga yang terus memarahi dan menghukum anak seperti kes kedua.

Menurut Ek Zakuan, perkara sama tidak mustahil berlaku di kalangan ibu bapa lain, malah mereka bingung menghadapi perubahan sikap si anak yang tiba-tiba mogok tidak mahu ke sekolah dengan memberi pelbagai alasan seperti sakit perut, sakit kepala dan sebagainya.

Apabila ini berlaku, ibu bapa sering diburu perasaan ragu-ragu, apakah anak itu berkata benar atau sebaliknya!

Kata Ek Zakuan, adakalanya alasan sebegitu disebabkan tindak balas psychosomatic si anak yang mengalami tekanan emosi sehingga menyebabkan mereka berasa sakit perut, sakit kepala dan sebagainya.

Bagaimanapun, memaksa anak ke sekolah dengan menggunakan kekerasan bukan jalan penyelesaian yang terbaik sebaliknya menjadikan mereka lebih takut ke sekolah.

“Ibu bapa wajar mengenepikan sikap terlalu memanja atau melindungi sehingga semua alasan anak enggan ke sekolah diterima tanpa soal.

“Cara yang baik bagi mengatasi masalah anak yang takut ke sekolah ialah dengan menggunakan teknik-teknik tertentu seperti teknik systematic desensitization atau gradual exposure di mana usaha membiasakan kanak-kanak dengan perkara yang mereka takuti secara berperingkat dan bersistematik,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut mengenai apa yang dimaksudkan, kata Ek Zakuan, langkah tersebut dianggap lebih berkesan dalam usaha menarik semula minat kanak-kanak ke sekolah berbanding menjauhkan diri dari tempat yang menakutkan mereka selama ini.

Ini kerana dengan cara tersebut membuatkan kanak-kanak terbiasa dengan keadaan tersebut.

Ujarnya, pada hari pertama ibu bapa boleh membawa kanak-kanak ini melihat kawasan sekolah dari luar pagar kemudian masuk ke sekolah semasa hari cuti.

Ibu atau bapa boleh menjelaskan kepada kanak-kanak tentang persekitaran sekolah, termasuk membawa ke padang sekolah, bilik darjah, kantin dan bilik guru.

Manakala hari keduanya, ibu bapa boleh memujuk kanak-kanak agar cuba berada di sekolah untuk beberapa jam, menyesuaikan diri dengan persekitaran, guru-guru dan rakan-rakan.

“Jika ada perubahan, minta anak agar berada di sekolah hingga habis waktu. Dalam keadaan ini kerjasama rakan-rakan serta guru amat diperlukan bagi memberi sokongan kepada kanak-kanak ini,’’ ujarnya.

Kerjasama

Beliau menambah, kaedah itu hanya boleh berjaya dengan adanya kerjasama semua pihak termasuk guru-guru, rakan-rakan sekolah dan ibu bapa sendiri.

Mengenal pasti punca anak enggan ke sekolah merupakan langkah pertama yang perlu diambil setiap ibu bapa.

Jika punca telah dikenal pasti, sebagai contoh, kanak-kanak ini takut kepada guru kelas yang dianggap garang bagi mereka, ibu bapa bolehlah bertemu dengan guru tersebut.

Ceritakan masalah yang dihadapi si anak ini seterusnya meminta kerjasama guru agar dapat sama-sama menarik minat anak ke sekolah semula.

Sepanjang bersama kanak-kanak, ibu bapa perlu memberi gambaran positif kepada mereka bahawa ke sekolah merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Sebagai contoh dengan menyatakan, jika kamu pergi ke sekolah, kamu dapat berjumpa dengan rakan-rakan,’’ jelasnya.

Beliau menegaskan, sebagai ibu bapa sikap suka mengambil mudah keengganan anak ke sekolah tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya perlu bertindak segera agar ia tidak berlarutan sehingga boleh menjejaskan perkembangan mental kanak-kanak itu sendiri.

“Jika kanak-kanak yang sudah menunjukkan gejala-gejala enggan ke sekolah tidak dibantu, apabila dewasa nanti mereka akan menjadi individu yang cepat mengalah, mudah berputus asa dan menjadi seorang yang suka lari daripada masalah,’’ ujarnya lagi.

Menjelaskan lebih lanjut mengenainya, Ek Zakuan berkata, enggan ke sekolah bukan satu penyakit sebaliknya ia merupakan gejala kepada sesuatu penyakit.

Ditanya mengenai berapa lama tempoh fobia ke sekolah kepada seseorang kanak-kanak, ujar Ek Zakuan, ia bergantung kepada pendekatan yang diambil ibu bapa.

Makin lama anak dibiarkan tidak masuk sekolah, makin lama masalah tersebut tidak akan dapat diselesaikan.

Jika ini dibiarkan berterusan akan muncul pula satu ketakutan lain dalam diri kanak-kanak ini.

PUNCA ANAK ENGGAN KE SEKOLAH

- Masalah dengan kanak-kanak lain seperti diejek atau dipulaukan.

- Masalah dengan guru.

- Ancaman kecederaan fizikal daripada pembuli.

- Malu atau takut setelah diejek atau dibuli.

- Masalah dalam pembelajaran.

- Masalah pergaulan seperti kemahiran bersosial yang rendah dan rasa rendah diri.

- Konflik keluarga.

- Masalah psikiatri seperti kemurungan, Anxiety Disorders, Attention Deficit Hyperactivity Disorder'(ADHD) dan lain-lain lagi.

Tip mengatasi anak enggan ke sekolah

- Fahami punca sebenar mereka enggan ke sekolah.

- Berikan gambaran yang positif tentang sekolah serta kepentingan sekolah kepada masa depan mereka.

- Dalam usaha mengatasi masalah ini, ibu bapa perlu bersikap tegas dan konsisten dalam menangani tingkah laku anak yang negatif.

- Dapatkan kerjasama daripada pihak sekolah dalam menangani masalah yang dihadapi.

- Dapatkan bantuan profesional jika masalah berlarutan.

1 Add Comment so far

saya dulu2 x suka ke sekolah.. bila dah ramai kawan baru nak pergi..hehehe

kena buli sebab saya kecik..heheh..kena tolak time dalam barisan tu biasalah..heheh


EmoticonEmoticon