Jun 10, 2013

Kelebihan Bulan Syaaban dan Rejab

Kelebihan Bulan Syaaban dan Rejab |Assalamualaikum, di sini saya ingin kongsikan ilmu akhirat tentang Kelebian Bulan Syaaban dan Rejab.Semperna bulan syaaban ini saya akan kongsikan dalam blog ini ilmu-ilmu akhirat semoga ilmu ini berguna kepada saya dan anda semua umat islam .. Amin.



.

Khutbah Jumaat: Kelebihan Bulan Syaaban

.
.

Muslimin yang di Rahmati Allah,

.
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: “KELEBIHAN BULAN SYAABAN”.
.
.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

.
Kini kita berada pada 2 Syaaban. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan dan keistemewaannya. Bulan Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk kita menghadapi bulan Ramadhan yang merupakan medan ibadah bagi umat Islam.
Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya.
.
Bulan Syaaban adalah bulan Rasulullah dan bagi kita sebagai umatnya berbagai ganjaran yang disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan menghadap bulan Ramadhan. As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al-Khaubawi di dalam kitab ‘Duratun Nasihin’ menceritakan tentang amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik: Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan dari tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.”
.
.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

.
Banyak hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Syabaan ini antaranya ialah sebagaimana hadith yang diriwayatkan Imam al-Bukhari RA melalui Aisyah RAH :
Bermaksud: Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. (Riwayat al –Bukhari)
 .
Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah ibadah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini.
Ini bertepatan dengan sabda Rasullullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadhan yang terafdhal berpuasa?. Nabi SAW menjawab bermaksud, Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadhan”. Nabi SAW ditanya lagi,“Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi SAW menjawab, “Sedekah di bulan Ramadhan. (Riwayat at-Tirmizi)
.
Pada bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam iaitu ‘Malam Nisfu Syaaban’. Ini adalah kerana pada malam tersebut Allah SWT telah memberikan kelebihan kepada hamba-hambanya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya. Sabda Rasulullah SAW menerusi hadithnya yang diriwayatkan oleh Ibn Majah RA daripada Abu Hurairah RA :
Bermaksud: Allah SWT melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu syaaban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.” (Riwayat Ibn Majah)


.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

.
Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam di anjurkan pelbagai ibadah antaranya,
.
Pertama: Melakukan ibadah puasa sunat dan qiyamullail, Inilah ibadah yang paling diutamakan oleh Rasulullah SAW pada bulan yang mulia ini. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah puasa sunat pada 15 terakhir bulan Syaaban. Ambillah peluang ini untuk membiasakan diri kita dengan ibadah puasa supaya ianya tidak menjadi keberatan apabila tibanya bulan Ramadhan. Melakukan Solat tahajjud dan solat sunat taubat amatlah ditekankan terutama pada malam Nisfu Syaaban. Inilah masa yang sesuai untuk diperbanyakkan berdoa memohon supaya diberi keampunan dan kerahmatan dari Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman,“Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana adakah di sana? sehingga terbit fajar.” (Riwayat ibn Majah)
.
Kedua: Memperkukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ianya bersangkutan dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka saling bermaafan. Sucikan diri dari perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadhan supaya amal ibadah pada bulan yang berkat ini dapat dirasai kemanisannya.
.
Ketiga: Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan. Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian. Beristiqamah membawa maksud sentiasa melakukan amal ibadah tersebut tiap-tiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya.
.
Keempat: Memperbanyakkan  memohon keampunan daripada Allah SWT. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa yang dilakukannya saban waktu. Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah terutamanya dosa-dosa kecil yang datang dari perbuatan manusia samada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titi-titik hitam di dalam hati yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh dari petunjuk Allah SWT. Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun daripada Allah SWT kerana selagi pintu keampunan itu terbuka.
Allah SWT berfirman di dalam surah Huud ayat 3:
11:3
Maksudnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya; supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik hingga ke suatu masa yang tertentu, dan Ia akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihan akan kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari Kiamat yang besar.
.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengambil peluang keemasan pada bulan yang mulia ini dengan melakukan ibadah kepada Allah SWT. Ia satu keadaan di mana kita berpeluang untuk mencari keredhaan Allah SWT dan menebus segala dosa di atas segala kesalahan-kesalahan lalu. Yakinlah bahawa manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Maka bulan yang mulia ini perlu dipelihara sebaik mungkin untuk mendekati diri kepada Allah SWT. Marilah kita semasa masih sihat, bertenaga dan ada peluang yang terbuka ini, untuk melakukan muhasabah diri, sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dan membuat penilaian prestasi amalan setiap hari apakah amalan dan tingkah laku kita dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia selari dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat 122 :
 6:122
Maksudnya:Dan adakah orang yang mati, kemudian Kami hidupkan dia semula, dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi untuk ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar daripadanya?Demikianlah diperlihatkan pula pada pandangan orang kafir itu akan keelokkan apa yang mereka telah lakukan.
.
.
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
KELEBIHAN BULAN SYAABAN


1 Add Comment so far

Sedar tak sedar dah tak lama dah nak masuk Ramadhan ye..


EmoticonEmoticon