Pada suatu masa dahulu, ketika berada di atas tanah, gagak tidak berjalan sambil melompat-lompat seperti sekarang. Boleh dikatakan bahawa cara gagak berjalan sebenarnya tidaklah buruk. Akan tetapi, gagak sentiasa menganggap cara ia berjalan amat buruk.
Pada suatu hari, gagak melihat puyuh galah berjalan. Ia berasa gaya puyuh berjalan amat lembut lagi cantik. Oleh itu, ia pun pergi mengunjungi puyuh galah lalu memintanya menjadi gurunya. Ia hendak mempelajari cara puyuh galah berjalan.
Gagak pun mempelajari cara berjalan dari puyuh galah dalam tempoh masa yang agak lama. Walaubagaimanapun, ia masih tidak dapat mempelajari langkah puyuh galah berjalan. Akhirnya, ia pun berputus asa dan tidak mahu belajar lagi.
Apabila hendak pulang ke rumahnya, gagak telah pun terlupa bagaimana cara untuk berjalan.Oleh itu, terpaksalah ia beredar dari situ dengan berjalan sambil melompat-lompat.
Moral: Apabila mempelajari kebolehan orang lain, kita perlu berbuat demikian berdasarkan kebolehan diri.
EmoticonEmoticon