Jun 22, 2012

RAHSIA PERGERAKAN DALAM SOLAT KEPADA KESIHATAN FIZIKAL

RAHSIA PERGERAKAN DALAM SOLAT KEPADA KESIHATAN FIZIKAL  ? Assalamualaikum dan salam sejahtera buat anda semua, di sini saya ingin berkongsi dengan anda semua satu informasi yang sangat berguna kepada umat islam seluruh dunia, iaitu berkaitan dengan rahsia pergerakan dalam solat kepada kesihatan fizikal.



Setiap umat Islam diwajibkan menunaikan ibadat solat manakala yang belum mencapai baligh diwajibkan tanggungjawab ke atas ibu bapa mendidik dan mengajar anak mengenai solat mengikut peraturan yang ditetapkan.

Yang pasti solat adalah ibadat fardu pertama dalam syariat semua anbia sejak Nabi pertama Adam AS sehinggalah peristiwa Israk Mikraj apabila Allah SWT memerintah solat wajib lima waktu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan ia berkekalan sehingga hari ini yang diamalkan umat Islam di muka bumi ini.

Seperti dalam ajaran Islam, solat adalah tiang agama dan tanpanya umat Islam tempang dari segi akidah tauhid sebagai pembuktian ketaatan kepada Allah.

Namun, suatu yang pasti setiap umat Islam yang menunaikan solat sama ada solat wajib dan sunat, jika dilakukannya dengan penuh khu-syuk, akan dapat rasai ketenangan yang sukar dicari atau dibandingkan dengan gerak kerja lain.

Tidak keterlaluan jika solat sebenarnya mempunyai seni tersendiri di samping 1001 rahsia yang belum dirungkai sepenuhnya, kecuali kita mengetahuinya sebagai ibadat diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Pastinya ada rahsia kerana ketenangan dapat dirasai apabila kita mengerjakan solat dengan betul dan khusyuk.

Pergerakan rukun dalam solat yang membabitkan angkat tangan ketika niat, takbirratullihram, sujud, rukuk, duduk iktidal sehingga memberi salam sebenarnya mempunyai rahsia tersendiri seperti satu senaman ringan. Keistimewaan pergerakan solat inilah mencetuskan minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) membuat kajian saintifik untuk melihat hikmahnya dari segi kesan kepada kesihatan kerana ia (solat) suatu aktiviti fizikal unik.

Antara hasil kajian secara saintifik terhadap solat paling menarik ialah kemampuan memulihkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk yang amat ditakuti oleh lelaki. Kajian itu diketuai Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Prof Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abbas, Prof Dr Wan Azman Wan Abu Bakar dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM). Kajian itu juga dibuat hasil cetusan pemikiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2005 supaya melihat dan mengkaji dari sudut saintifik mengenai solat.

Masalah mati pucuk antara penyakit yang menghantui 40 peratus lelaki di seluruh dunia berusia 40 tahun ke atas dan menerusi perubatan moden, kelemahan zakar berfungsi dengan baik hanya dengan pengambilan pil seperti viagra atau ubat tradisional seperti makjum.

Menurut Prof Madya Fatimah, hasil kajian biokejuteraan sains solat yang dilakukan pasukannya penyelidiknya dapat membuktikan masalah mati pucuk boleh diatasi dengan menunaikan solat.

Katanya, keputusan itu diperoleh menerusi kajian yang dijalankan ke atas dua pesakit yang menjalani terapi solat selama sebulan yang didapati tahap kelemahan zakar berjaya dipulihkan dengan memberangsangkan berbanding sebelumnya.

Beliau berkata, terapi solat itu memerlukan seorang pesakit mengerjakan solat sebanyak 12 rakaat secara berterusan selama setengah jam dan dilakukan tiga kali seminggu.

"Saya dapati pesakit yang menjalani kajian ini berubah dari segi kekuatan zakarnya yang menunjukkan ketegangan semakin baik. Ini kerana setiap pergerakan dalam solat didapati merangsang otot lantai pelvik.

"Jelas, solat sebenarnya bukan sekadar ibadat yang diwajibkan ke atas umat Islam tetapi ia mengandungi rahsia yang besar kepada penjagaan kesihatan badan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memasang alat khas yang berfungsi mengesan tahap ketegangan zakar dan pengaliran darah sewaktu tidur.

Seorang lelaki yang sihat, katanya boleh diukur sejauh mana kekerapan zakarnya tegang terutama ketika malam dan dalam keadaan sedang tidur.

"Lelaki yang sihat akan mengalami ketegangan zakar tiga hingga enam kali ketika tidur selama 10 minit dengan tahap ketegangan mencapai 200 peratus," katanya.

Kajian lain yang masih dijalankan menerusi terapi solat secara saintifik membabitkan komposisi tubuh badan, kolesterol, sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia dan sakit pinggang.

Setakat ini, kajian awal sudah membuktikan bahawa manfaat fizikal seperti komposisi badan seseorang menjadi lebih baik dan mental yang cerdas apabila seseorang itu melakukan amalan solat menepati syarat yang ditetapkan seperti mengerjakan solat lima kali sehari selain solat sunat, mengerjakan solat secara berjemaah, memahami bacaan dalam solat, mengerjakan rukun solat dengan sempurna.

Beberapa keputusan lain juga mendapati solat tarawih dan ibadat puasa didapati dapat merendahkan tahap glukos, kolesterol yang menjadi rintangan pengaliran darah dalam badan. Amalan itu juga mampu meningkatkan kekenyalan dinding otot salur darah dan kadar metabolisma dalam badan. Kajian juga mendapati kadar denyutan jantung adalah paling rendah dalam posisi sujud yang merehatkan jantung.

Prof Madya Fatimah berkata, kajian juga mendapati posisi rukuk dalam solat pada kedudukan sudut 90 darjah dapat mengurangkan sakit belakang dan pinggang.

"Sebenarnya, tidak boleh dinafikan bahawa amalan solat secara betul memberi banyak manfaat dari segi kesihatan fizikal dan mental kerana pergerakan solat itu sendiri sama sepetti senaman.

Kesimpulannya solat adalah suatu aktiviti fizikal unik yang mampu memelihara kesinambungan sistem fisiologikal manusia meliputi kesihatan fizikal, mental, rohani dan emosi. Dengan memahami hikmah dan kebaikan yang dizahirkan daripada pergerakan solat yang sempurna, akan merangsang muslimin dan muslimat dalam menunaikan ibadat dengan khusyuk dan tawaduk.

Oleh Azman Mahmood


EmoticonEmoticon