Luqman Hakim

Berkongsi Info berkaitan dengan Isu Semasa,Sukan, Senarai Gadget Baru, Lagu Baru 2016, Gosip Artis Malaysia, Doa dan Ayat Ruqyah.

Nafkah anak dan isteri tanggungjawab lelaki

Soalan:
Saya adalah suri rumah dan telah bercerai dengan bekas suami dua tahun yang lalu. Saya mempunyai dua orang anak yang berumur lima tahun dan tujuh tahun di bawah jagaan saya.

Bekas suami telah diperintahkan oleh mahkamah untuk memberi nafkah anak-anak, tetapi sudah satu tahun tiga bulan suami tidak memberi nafkah tersebut. Saya sudah beberapa kali menelefon dan cuba bersemuka tetapi sering gagal kerana dia sudah tidak mahu mengambil tahu tentang saya dan anak-anak. Apa patut saya buat agar bekas suami membayar nafkah anak-anak saya?


Ibu runsing
Wangsa Maju, Kuala Lumpur

Jawapan
Masalah yang puan kemukakan akan dijawab berasaskan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 kerana puan bermastautin di Wilayah Persekutuan. Seksyen 72 Akta tersebut menyatakan bahawa “...menjadi kewajipan seseorang lelaki untuk menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, untuk mengadakan tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah bergantung kepada kemampuan dan taraf kehidupannya.

Suami puan telah diperintahkan oleh mahkamah supaya membayar nafkah anak-anak tetapi perintah tersebut telah tidak dipatuhi. Puan mempunyai beberapa pilihan untuk melaksanakan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah itu.

Kegagalan mematuhi perintah tersebut menyebabkan nafkah tertunggak. Mengikut Seksyen 77 Akta tersebut puan boleh menuntut tunggakan itu sebagai hutang daripada pihak yang ingkar iaitu bapa kepada anak-anak puan.

Puan juga boleh memohon kepada mahkamah supaya suatu perintah memotong gaji terus daripada majikan bekas suami puan untuk menjelaskan nafkah bulanan kepada anak-anaknya.

Puan juga boleh memohon kepada mahkamah supaya bekas suami meletakkan cagaran untuk pembayaran nafkah tersebut. Seksyen 74(1) Akta memperuntukkan mahkamah boleh memerintahkan orang yang bertanggungjawab membayar nafkah supaya memberi cagaran dengan meletak hak apa-apa harta pada pemegang amanah untuk membayar nafkah daripada pendapatan harta itu.




Puan juga boleh memohon supaya mahkamah mengeluarkan Saman Penghutang Penghakiman kepada bekas suami supaya hadir ke mahkamah untuk memberi tunjuk sebab mengapa perintah nafkah itu tidak dipatuhi di bawah seksyen 176 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

Kadar nafkah bergantung kemampuan suami puan. Mahkamah mempunyai kuasa untuk meminda perintah nafkah itu, jika perlu. Sekiranya bekas suami puan itu tidak ada kemampuan untuk membayar nafkah, mahkamah boleh memerintah keluarganya untuk memberi sumbangan nafkah di bawah Seksyen 7392) Akta.

Bagaimanapun berasaskan kepada fakta bahawa suami puan telah berkahwin lagi, kami yakin bahawa dia mempunyai kemampuan untuk membayar nafkah kerana dari segi syarak jika seseorang itu tidak ada kemampuan maka perkahwinan adalah haram.

Puan juga boleh mengambil tindakan dengan melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tentang keengganan bekas suami puan mematuhi perintah nafkah tersebut.

Mengikut Seksyen 132 akta tersebut, suami yang didapati cuai membayar nafkah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh mereka tidak membayar nafkah. Bagaimanapun, peruntukan ini hanya dapat dimanfaatkan jika pihak penguat kuasa agama mengambil tindakan terhadap bekas suami puan.
Share this article :
+
0 Komentar untuk "Nafkah anak dan isteri tanggungjawab lelaki"

 
Copyright © 2015 Luqman Hakim - All Rights Reserved
Template By Kunci Dunia