Jun 15, 2011

Panduan Membina Kolam Ikan Hiasan

Binaan kolam ikan pada laman memberikan pemandangan visual berbeza untuk keindahan semula jadi dan mendamaikan.

Tidak dinafikan, proses penyelenggaraan kolam antara faktor utama ramai di kalangan pemilik kediaman membatalkan hasrat untuk membina kolam berkenaan.


Perlu difahami keadaan kolam sentiasa kekal bersih dan terjaga rapi jika sistem pengaliran air serta penapisnya berfungsi dengan baik.

Pilihan penapisnya juga perlu tepat supaya dapat berfungsi dengan baik dan tahan lama.

Tangki penimbang juga perlu disediakan bagi mengawal tahap kedalaman air dan paip limpahan bagi mengawal air kolam ketika hujan lebat.

Air kolam biasanya perlu ditukar sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan sekali, cuma penapisnya saja perlu dibersihkan sebulan sekali selain bergantung kepada saiz kolam dan bilangan ikan yang dibela.



Biasanya pembinaan kolam ikan mempunyai kesinambungan dengan reka bentuk landskap.

Paling tepat jika binaan kolam dibuat ketika rumah sudah hampir siap dan kerja membina landskap sedang giat dilakukan kerana proses menanam paip, sistem pam serta tapisan selalunya dibuat sebelum menanam pokok dan rumput.

Dalam usaha membina kolam ikan terbaik mengikut cita rasa anda dan keluarga, perkara paling utama ialah memastikan terlebih dulu jenis ikan yang bakal dibela dalam kolam itu.

Seterusnya, pilih ruang atau sudut terbaik di laman bagi menempatkan binaan kolam ikan berkenaan supaya tidak mengganggu ruang pergerakan dan keselesaan bersantai.

Kemudian, fikirkan jenis pembentukan air berpancuran atau air terjun yang sesuai untuk kolam ikan. Perkara terakhir yang perlu dilaksanakan ialah mengambil kira bajet kewangan untuk pembentukan kolam ikan.

Apabila kolam ikan siap dibina, jangan terus masukkan ikan mahal sebaliknya cuba dulu ikan kecil yang murah.

Sekiranya dalam jangka masa seminggu tiada apa-apa terjadi kepada ikan berkenaan, barulah sesuai dilepaskan koi atau kap Jepun yang dibeli dengan harga ribuan ringgit.

1 Add Comment so far

Jumpa dan dapatkan khidmat kami di

http://kolamhiasan.blogspot.com


EmoticonEmoticon