Jun 26, 2011

Rahsia Nafsu Perempuan Yan Sebenar.

Tentu saja artikel yang berkaitan dengan perempuan menjadi tarikan kepada lelaki (dan perempuan), apatah lagi ia menyentuh mengenai seksologi Timur yang semakin 'hilang' ditelan zaman dan ditelan arus perdana seksologi Barat. 

Mudah-mudahan kehadiran artikel ini akan disambut dengan baik dan rasa gembira oleh Muslimin dan Muslimat sekelian. 

Ini adalah artikel ilmiah, membicarakan mengenai nafsu perempuan dan bagaimana lelaki sebagai suami seharusnya mengendalikan nafsu isterinya dengan baik sebagai usaha untuk membina rumahtangga yang bahagia dan kekal ke akhir hayat. Itu fokus artikel. 


Ia juga akan menyentuh perihal bagaimana seharusnya lelaki berfikir, merasa dan bertindak berkaitan dengan nafsu perempuan sekiranya mereka ini belum lagi merupakan pasangan yang sah di segi agama dan undang-undang. Artikel ini akan dimulakan dengan catatan umum mengenai nafsu perempuan menurut pengetahuan Timur. 

Olehkerana istilah nafsu ini mempunyai konotasi negatif pada ramai orang dan bagi mengelakkan persepsi negatif, dalam artikel ini kami akan gunakan istilah emosi, keperluan atau kehendak untuk itu dan hanya menggunakan istilah nafsu bila perlu saja. 

Mengapa perlu menulis mengenai Nafsu Perempuan? Ini kerana sebagai seorang suami, para Muslimin perlu menangani emosi atau kehendak isteri anda dengan baik dan dengan cara yang bijaksana. 

Perempuan yang menjadi isteri anda itu mempunyai nisbah emosi yang lebih tinggi dari anda. Seorang perempuan akan lebih cenderung untuk menggunakan emosinya dalam berbagai situasi dalam kehidupannya, sama ada dia masih kanak-kanak, anak dara atau sudahpun bersuami ataupun sudah tua. 

Emosi, keperluan atau kehendak ini secara umumnya adalah normal dan baik. Tidak wajar untuk kita katakan bahawa emosi itu jahat dan akal itu baik. Kedua-duanya ada kelebihannya yang tersendiri. 

Sebenarnya emosi yang digunakan oleh perempuan dalam kehidupannya sehari-hari mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri. Secara umum ianya adalah baik, kerana dengan inilah seorang isteri mampu mencurahkan kasih sayang dan mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berjaya lagi berguna. 

Hakikatnya ialah perempuan itu dijadikan mempunyai dorongan emosi yang lebih kuat dan keperluan yang lebih tinggi kepada banyak perkara. Kerana itu juga lelaki sebagai suami harus memainkan peranannya membentuk dan memandu emosi perempuan agar melakukan segala perkara yang baik-baik dan ini amat bermanfaat dalam membentuk generasi yang lebih cemerlang di masa akan datang. 

Perempuan ibarat ' tulang rusuk kiri yang bengkok' dapat menjelaskan lagi mengenai emosi atau nafsu perempuan. 

Kerana itu juga, perempuan harus dilayani dengan cara yang lemah-lembut dan bijaksana. Sekiranya anda terlalu keras dan kasar, hati perempuan akan mudah patah, dia akan menangis dan merajuk (lagi manifestasi emosi) ke tahap yang mungkin tidak dapat dipujuk lagi. 

Sebaliknya jika anda membiarkannya, dia akan terus 'bengkok' dan semakin lama semakin sukarlah untuk anda 'meluruskannya'. Rahsia 'meluruskan yang bengkok' ialah belaian dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan. 

Bila kami catat belaian, itu bukan semata-mata bererti belaian di atas ranjang. Belaian ini adalah belaian yang menyeluruh dalam kehidupan sehari-hari. Belaian ini juga bukanlah hanya seperti anda membelai seekor kucing (mungkin akan merimaskan isteri anda), tapi ia bermaksud belaian kepada emosinya atau kepada nafsunya sepanjang anda berada bersamanya atau tidak berada bersamanya. 

Apakah bentuk manifestasi belaian itu? Paling penting ialah komunikasi yang baik dengan cara 'membelai' emosinya. Tunjukkan padanya dan katakan padanya anda pentingkan dirinya, ambil tahu tentang dirinya, sayang padanya. Contoh dialog dari anda "Sayang dah makan?" atau "Abang rasa rindu sangat kat ayang, macam setahun tak jumpa (bila anda berjauhan darinya, sebenarnya anda baru sehari berada di kejauhan..)" atau "Ayang ni semakin hari semakin mengancam". 

Emosi perempuan gemar pada sesuatu yang mempunyai unsur humor atau jenaka (tapi jangan keterlaluan). Emosi perempuan juga lebih gemar jika anda bertanya atau berkata atau berjenaka dengannya mengenai keperluan asas (basic needs) seperti hal makan, hal pakaian, hal perhiasan dan make-up (pada perempuan ini keperluan asas mereka walaupun harganya mahal), hal kecantikannya, hal keperluan anak-anak dan yang seperti itu. 

Cerita pemimpin ke luar negara atau bagaimana Malaysia boleh tingkatkan ekonomi bukan belaian untuk emosi perempuan. 

Jalan masuk kepada membelai emosi perempuan ialah telinganya. Itu adalah 'kelemahan' perempuan. Kelemahan lelaki pula ialah pada matanya. Jadi jangan hairan jika anda mudah tertarik kepada kecantikan perempuan terlebih dahulu, kemudian barulah anda berminat untuk lebih mengenalinya, menyelidik latar-belakang agamanya, statusnya dalam masyarakat dan hartanya. 

Perempuan tidak mudah dibelai matanya, sebab yang dipentingkan oleh perempuan ialah budibahasa yang 'tangkap lentuk'. Kerana itu, perempuan tidak memandang pada rupa paras lelaki dan lebih tertarik kepada lelaki yang mengambil berat kepada dirinya (perempuan itu). 

Bagaimana dengan belaian yang sebenar? Yang ini semua lelaki tahu. Sentuh sana, usap sini, belai rambut (macam cerita Hindustan, dicampur nyanyi-nyanyi sedikit). Masalahnya ialah, hal ini dilakukan sebelum berumahtangga (ini hal yang patut dielakkan) dan dilupakan bila sudah berumahtangga (yang ini sepatutnya dilakukan setiap hari). 

Walaupun ini dapat 'mencairkan' perempuan (isteri anda), namun ini saja tidak cukup jika anda tidak membelai telinganya (dengan kata-kata pujian, kata-kata yang manis dan pujuk rayu) sebab perempuan tidak begitu gemar belaian dari suami yang ' bisu' (jika benar anda bisu tidak mengapa kerana dia sudah faham). 

Kenapa? Perempuan itu dijadikan dengan sifat meluahkan apa yang ada di fikirannya, itulah sebabnya perempuan lebih banyak bercakap (terutamanya bila dia marah). Lelaki pula dijadikan dengan keadaan mulutnya diletakkan di fikirannya, kerana itu lelaki selalunya banyak berfikir dan bila marah selalunya akan diam. Bila lelaki diam, perempuan berada dalam keadaan 'suspens', bila lelaki berkata-kata, perempuan akan merasa lega sebab barulah dia tahu apa yang ada dalam fikiran lelaki itu. 

kami harap anda dapat menilai apa yang kami catat setakat ini. Maka ketenangan dan kestabilan emosi (nafsu) amatlah penting bagi seseorang perempuan (isteri anda). Kerana itulah lelaki diwajibkan memberi nafkah batin kepada isterinya. 

Wanita mudah tergugat emosinya dan lebih mudah sampai ke tahap sukar mengawal emosinya. Bila ini berlaku, banyak hal yang buruk boleh terjadi. 

Nafkah batin bukan cerita ranjang semata-mata. Ia adalah keseluruhan layanan anda terhadap isteri anda. Adakah anda melayaninya dengan baik? 

Antara pesanan akhir junjungan kita Rasulullah s.a.w. kepada umat kesayangan baginda ialah agar suami melayani isteri dengan baik. Semua lelaki patut sedar bahawa isterinya adalah manusia dan bukan objek seks. 

Mempraktikkan nafkah batin dengan baik bermula dari memahami apakah sebenarnya yang diperlukan oleh seorang perempuan. Seorang isteri mungkin rimas dengan seks tapi gembira bila anda memahami dan mementingkan kehendaknya. 

Pada pendapat ramai perempuan, ramai lelaki sebenarnya mementingkan diri sendiri dan tidak faham hati perempuan. Jika anda telah melaksanakan tanggungjawab anda membelai emosinya , maka isteri anda akan melayani pula anda dengan baik, insyaAllah. 

Semua lelaki patut sedar bahawa layanan yang baik seorang isteri bermula dari dirinya sendiri sebagai suami. Jika seorang lelaki menceraikan isterinya atas alasan isterinya tidak melayaninya dengan baik, mungkin ada silapnya dan mungkin berpunca dari lelaki itu sendiri yang tidak melayani isterinya dengan baik. 

Sebagai suami, anda akan belajar seni melayani isteri ini menerusi pengalaman (setelah tahu teorinya). Kerana itu jugalah Allah yang Maha Bijaksana meletakkan hak melafazkan cerai pada lelaki, jika hak lafaz cerai itu diberikan pada perempuan, alamatnya ramailah lelaki yang jadi duda kerana tidak pandai melayani kehendak dan keperluan (nafsu) isteri.. 

Kami fikir biarlah setakat ini dulu untuk siri pertama ini. Jumpa lagi di siri akan datang, insyaAllah. semoga ilmu ini bermenafaat untuk kita semua dalam menjaga keharmonian rumahtangga bersama...


sumber: en.netlog.com

2 Add Comment

suka baca yang bab tulang bengkok tu


EmoticonEmoticon