Saya ada terbaca baru-baru ini mengenai lebihan cecair berbau yang mengganggu sewaktu melakukan hubungan dengan suami. Saya juga baru mendirikan rumah tangga setahun lebih.
Dulu, cecair berbau ini tidak pernah keluar ketika melakukan hubungan. Tetapi sejak empat bulan lalu, selepas membuat hubungan, ada cecair keluar dengan banyak pada keesokan harinya.
Ia seolah-olah keputihan berwarna keruh, banyak dan berbau seperti ikan busuk. Saya sendiri tidak tahan dengan bau itu. Saya sudah mencuba mendapatkan rawatan daripada doktor di klinik swasta, macam-macam jenis ubat sudah saya ambil. Ia pulih dalam masa empat ke tujuh hari dengan diberi antibiotik sekali.
Apabila sembuh dan selepas mengadakan hubungan, bau itu muncul kembali dan ia sudah berlarutan hampir enam bulan. Saya tidak pasti sama ada ia berpunca daripada pemakanan atau cara melakukan hubungan.
Saya bimbang jika hubungan saya dengan suami terjejas kerana hal sebegini. Untuk pengetahuan doktor, tiada kegatalan pada kemaluan saya. Saya amat berharap doktor dapat membantu saya dalam hal ini.
AINA
Perlis
Jawapan
Cecair berbau dari faraj adalah petanda jangkitan kuman, sama ada pada permukaan faraj atau pintu rahim ataupun dari bahagian organ pelvis yang lebih dalam yang sihat mahupun yang berpenyakit.
Terdapat jangkitan kuman 'biasa' seperti kulat (lazimnya jenis candidiasis), kuman dari permukaan luar kulit contohnya jenis bacteria streptococcus, kuman dari lubang dubur contohnya jenis bacteria Escherichia coli, kuman pelbagai jenis yang dinamakan vaginosis bacteria, kuman penyakit jangkitan kelamin contohnya Chlamydia dan seumpamanya.
Kesemua kuman ini tidak dapat dikesan menggunakan satu jenis ujian sahaja. Lazimnya jenis kuman dapat disyaki melalui penilaian klinikal doktor menggunakan bantuan alat spekulum berdasarkan ciri-ciri cecair terbabit dan perubahan yang ditunjukkan pada faraj.
Melalui pengamatan ini juga, doktor dapat melihat sekiranya terdapat kelainan pada faraj dan pintu rahim misalnya ulser, ketumbuhan atau polip. Ujian Pap smear juga akan dilakukan.
Begitu juga dengan rawatannya, satu-satu jenis ubat itu tidak dapat menyembuhkan semua jenis jangkitan kuman.
Sekiranya jangkitan berkenaan berunsurkan jangkitan kelamin, suami atau pasangan juga disarankan mengambil rawatan pada masa yang sama bagi menghindarkan jangkitan semula, walaupun dalam kebanyakan kes, suami atau pasangan tidak mengalami apa-apa petanda.
Dalam kebanyakan kes jangkitan kelamin, seseorang tiada atau lambat mengalami petanda atau simptom.
Selain itu, doktor juga akan melakukan imbasan ultrabunyi bagi melihat keadaan dalaman organ rahim kerana terdapat penyakit dalaman rahim yang boleh memberikan petanda yang sama (namun ia lazimnya tidak berkaitan dengan selepas hubungan seks).
Oleh Dr Adilah Ahmat
Jun 10, 2011
Sebab Keputihan Berbau Macam Bau Ikan Busuk Keluar Melalui Faraj.
Artikel Terkait
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 Add Comment
fuhhh thnks for info =)
terima kasih gak
EmoticonEmoticon